SUMBER INSPIRASIKU..

Prof. Dr. Abd Karim Zaidan(kiri) dan Prof. Dr. Yusuf Al Qardawi

Dr Abd Karim Zaidan (duduk sebelah kiri)-inilah wajah beliau yang duduk bersebelahan dengan Prof. Dr. Yusof Al-Qardawi(kanan). Sebelum ini kita hanya membaca bukunya tanpa mengenali wajahnya....Kedua-dua ulama, ilmuan dan penulis di atas adalah antara insan yang sangat2 ingin ku temui..sejak di kampus di tahun awal 80an kami telah mula membaca, membahas dan membincangkan apa juga tulisan mereka..kadang2 agak sukar untuk memahami dan mencanai pemikiran mereka , mungkin kerana buku yang kami baca hanyalah buku terjemahan daripada bahasa Arab ataupun mungkin kerana kami belum berada di tahap perjuangan mereka..apapun yang pasti tiap kali membaca dan berbincang tentang pandangan mereka ianya benar2 dapat menajamkan nuraniku..

Alhamdulillah hari ini aku dapat menatap wajah dua orang tokoh ini..tokoh yang berjaya menajamkan hati ramai insan tanpa batasan geografi dan warna kulit..semalam sempat juga mengulangkaji tulisan Prof Dr Yusuf AlQardawi tentang malam nisfu Syaaban dan kelebihan bulan Ramadhan didalam buku beliau yang bertajuk' Khutbah Prof Dr Yusuf AlQardawi" jilid 2, buku yang telah 7 tahun kami gunakan di dalam usrah..begitu menarik penulisan dan perbahasannya..antara pesanan beliau yang sentiasa ku simpan dan rasa di nurani ini..."jika sesuatu yang kita kata dan keluarkan daripada hati ianya pasti masuk ke hati..jika kata hanya keluar daripada mulut , ia hanya singgah di telinga, dan hilang begitu saja tanpa kesan apa2..'




BINGKISAN DARI YAMAN
Pesanan Dr. Abdul Karim Zaidan kepada pejuang Islam
Oleh: Imran al-Malizi
(http://us.mc314.mail.yahoo.com/mc/compose?to=imran_almalizi@yahoo.com)


Beberapa bulan yang lalu, saya diberitahu bahawa beliau sedang sakit tenat dan enggan menerima tetamu. Beliau memerlukan rehat yang secukupnya lantaran faktor kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Pada hari Selasa, 21 Julai 2009, kami diberi kesempatan untuk menziarahi guru kami, Dr. Abdul Karim Zaidan, seorang ulama yang berasal dari Iraq dan sangat dikenali di peringkat antarabangsa. Keluasan ilmunya membuatkan pandangan-pandangan beliau sentiasa diperlukan bagi menjawab persoalan-persoalan semasa yang berkaitan dengan Islam.
Kitab-kitab karangannya telah digunakan sebagai teks usrah semenjak sekian lama. Malah beberapa kitab karangannya juga digunakan sebagai sukatan pelajaran di kebanyakan universiti. Di antara karyanya yang masyhur ialah Usul al-Da’wah, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, al-Wajiz fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Nizhom al-Qadha’, al-Mufasshal dan banyak lagi.
Dr. Abdul Karim Zaidan sangat cintakan ilmu dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan amanah dengan menyampaikan ilmu pengetahuan dan mendidik generasi umat ini. Beliau pernah berkata, “Aku sangat mengharapkan agar aku mati dalam keadaan sedang mengajar..”
Selepas solat Maghrib di Masjid Abu Bakar as-Siddiq di Hadda, kami berjalan kaki lebih kurang 5 minit ke kediaman Dr. Abdul Karim Zaidan. Kami disambut oleh anak lelakinya yang bernama Mohammed. Tidak lama menunggu di ruang tamu, Dr. Abdul Karim Zaidan muncul dengan dipapah oleh Mohammed.
Begitulah keadaannya ketika mengajar di dewan-dewan kuliah, walaupun dalam keadaan susah dan hampir tidak mampu untuk berjalan lagi, beliau tetap hadir demi menyampaikan ilmu. Usianya yang sudah mencecah 92 tahun tidak menghalangnya daripada terus menyumbangkan jasa kepada Islam.
Kami sangat bertuah kerana pertemuan pada malam itu dibuat sebelum beliau bertolak ke luar negara untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan menziarahi kaum kerabatnya di sana. Kemungkinan beliau akan pulang semula ke Yaman selepas beberapa minggu.
Dalam pertemuan ini, Dr. Abdul Karim Zaidan telah sudi untuk menjawab beberapa persoalan yang kami kemukakan khusus mengenai perkembangan politik Islam di Malaysia.
Berbicara tentang tahaluf siyasi iaitu perjanjian atau persepakatan politik, PAS telah pun bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain dan berjaya menguasai beberapa buah negeri dalam pilihanraya ke-12 yang lalu. Kerjasama ini kemudiannya disebut sebagai Pakatan Rakyat. Mungkin ramai lagi yang masih keliru tentang istilah tahaluf siyasi ini dan kurang pasti apakah matlamatnya dan di manakah batas-batas dan garis sempadannya?
Bagi menjelaskan perkara ini, Dr. Abdul Karim Zaidan berkata, “Ianya (tahaluf siyasi) tidak dilakukan secara mutlak, hanya digunakan bagi mencapai matlamat tertentu. Matlamat ini mestilah perkara yang dibenarkan oleh syarak. Sebagai contoh, Nabi s.a.w membuat perjanjian dengan kaum Yahudi di Madinah dengan matlamat tertentu, contohnya mereka tidak boleh memerangi kaum Muslimin dan sebagainya. Begitulah juga bagi PAS dan parti yang bukan Islam.. (kerjasama ini) hanya bagi mencapai suatu matlamat tertentu.”
Tambah beliau lagi, “Sebagai contohnya, jika golongan sekular mahu menetapkan satu sistem pendidikan yang tidak menepati Islam, maka kamu jangan menerima dan bersetuju dalam perkara ini. Maksudnya, tahaluf siyasi ini dibenarkan dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Islam.”
“Jika PAS bekerjasama dengan parti-parti pembangkang bagi mencapai matlamat yang menepati Islam dan syarak, ianya dibolehkan,” ujarnya.
Dengan syarat-syarat ini, maka kerjasama PAS dengan pihak-pihak lain hanyalah dibenarkan dalam mencapai matlamat tertentu yang menepati kehendak Islam, demi menegakkan keadilan yang menyeluruh, menolak kezaliman dan sebagainya. Selagi mana mereka bersetuju dengan prinsip-prinsip Islam yang diperjuangkan oleh PAS, maka kerjasama ini hendaklah diteruskan dalam perkara-perkara yang dipersetujui bersama.
Berkenaan dengan kewajipan bersama dengan perjuangan Islam, kata Dr. Abdul Karim Zaidan, “Parti Islam mesti dianggotai oleh semua orang-orang Islam. Mereka mesti meminta pandangan para ulama dalam semua perkara yang hendak dilakukan.”
Menyentuh tentang kepimpinan dalam satu jemaah yang memperjuangkan Islam pula, beliau menjelaskan, “Yang layak menjadi pemimpin ialah seorang alim dan faqih (ulama) pada waktu itu, jika tiada maka boleh dipertimbangkan orang yang memiliki ilmu yang mencukupi dan dia dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan memiliki keperibadian yang baik. Dia mesti mendapatkan pandangan para ulama untuk membuat apa-apa keputusan.”
Menjawab persoalan adakah pandangan pemimpin jemaah wajib diikuti dan adakah boleh berlaku perbezaan pandangan dalam satu jemaah Islam, Dr. Abdul Karim Zaidan lebih suka mengatakan bahawa syura adalah satu kemestian bagi pimpinan jemaah Islam.
Katanya, “Asal hukum dalam Islam, bagi jemaah yang dipimpin oleh seorang ketua, dia mesti bermesyuarat dengan mereka (Majlis Syura). Apabila sudah menjadi ketetapan yang disepakati bersama, maka keputusan itu dilaksanakan. Orang-orang lain yang berada di dalam jemaah tidak boleh bertelingkah dan hendaklah berpegang dengan keputusan itu.”
Akhir sekali Dr. Abdul Karim Zaidan memberi pesanan kepada para pemuda-pemudi Islam. Katanya, “Nasihat saya kepada golongan pemuda dan pemudi Islam, supaya bertakwa kepada Allah. Kerana Allah memerintahkan Nabi s.a.w supaya bertakwa kepadaNya. Syarat-syarat bertakwa kepada Allah ialah melaksanakan perintah-perintahNy a dan berhenti daripada melakukan segala laranganNya.”
Katanya lagi, “Kamu mesti mempelajari ilmu agama dengan ikhlas kepada Allah Ta’ala dan bertujuan untuk beribadat kepadaNya. Untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Firman Allah, “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang lurus.” (Surah al-Bayyinah: 5).
Sesungguhnya bagi Dr. Abdul Karim Zaidan sendiri, beliau sangat arif dan telah menempuh banyak pengalaman pahit dan manis dalam memperjuangkan Islam.
Maka itu bagi para pejuang Islam, beliau sangat menekan kedua-dua pesanan ini dalam mengharungi perjuangan. Iaitu hendaklah bertakwa kepada Allah S.W.T dan mengikhlaskan diri dalam segala amalan kita.
Allah S.W.T akan memberikan pertolongan kepada orang-orang yang bertakwa dan hanya menerima amalan-amalan yang dilakukan dengan ikhlas. Dengan ini, kita akan dapat menghadapi segala cabaran dan halangan dengan penuh kesabaran.
Beliau juga mendoakan kesejahteraan orang-orang yang memperjuangkan agama Allah, “Kita memohon agar Allah mempertahankan orang-orang yang beriman, semoga Allah mempertahankan dan memelihara kamu, semoga Allah membalas kembali perbuatan orang-orang yang melakukan kejahatan. Allah Maha Berkuasa mengatasi mereka. Semoga Allah menerima daripada kamu sebaik-baik amalan. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Pengampun ” Amin.
Anak-anakku...sahabat-sahabatku...bagaimana pula dengan kita..mampukah kita bertahan dalam perjuangan ini sepertimana Prof Dr Abd Karim Zaidan ini..dengan tekat, semangat, jihad yang tidak kenal masa, umur, geografi dan warna kulit..sebagai pembuktian menghamba kepada Sang KHALIQ.